Khamis, 25 Jun 2015

Sambutan Hari Guru 2015

Sekolah Rendah Islam Al-Rahman, Sekolah Menengah Agama Tinggi Al-Rahman dan KAFA Integrasi Al-Rahman telah mengadakan Sambutan Hari Guru 2015 peringkat sekolah di Hotel Oriental Kajang, Selangor pada 16 Mei 2015. Tarikh ini juga bertepatan dengan Hari Guru yang disambut di seluruh Malaysia. 

Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu turut disertai oleh beberapa tetamu VIP yang menjadi penyumbang utama di dalam pembangunan sekolah. Juga turut dimeriahkan dengan ahli keluarga guru-guru yang hadir. 

Majlis dimulakan dengan ucap tama daripada tuan pengetua selepas aluan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh seorang pelajar Al-Rahman. Tuan pengetua, Haji Shafie Bin Haji Juri memberi sekalung dua nasihat untuk dijadikan pedoman dan iktibar. Antara amanat penting yang dipanjangkan ialah prestasi dan kesungguhan para guru di dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar. Ucap beliau lagi, guru umpama lilin, membakar diri untuk menerangi yang lain. Hanya ganjaran daripada Allah Taala sahaja yang dapat membalas dengan jumlah yang setimpal. Usah diharap balasan dan pujian manusia, kerana mendidik adalah tugas para nabi dan rasul!

Majlis juga turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 3 orang guru terbaik yang masing-masing mewakili SMATAR, SRI AL-RAHMAN dan KAFA-i AL-RAHMAN. 

Sebagai meraikan majlis, persembahan nasyid turut diadakan dengan dibarisi oleh tenaga pengajar Al-Rahman sendiri. Jamuan makan istimewa juga turut disediakan oleh pihak hotel. Jamuan ala buffet tersebut merupakan menu yang disediakan istimewa sempena sambuta hari guru 2015.

Majlis berakhir pada pukul 2 petang seusai berakhirnya solat zohor. Memetik buah kata hikmah daripada tuan pengetua, " Gaji yang diterima bukanlah harga yang selayaknya untuk usaha guru mengajar, tetapi ingatlah bahawa mendidik ini tugas utusan Allah, maka ganjaran Allah itu lebih utama".

Selaat hari guru kepada semua pendidik di Malaysia!