Jumaat, 4 September 2015

Majlis Solat Hajat & Bacaan Yasin

Bahang UPSR semakin terasa. Tarikh 8, 9 & 10 September 2015 menjadi keramat. Latihan demi latihan telah dipulun. Akhir sekali, tawakkal kepada Allah wajib digarab. Moga pertolongan Allah terus bersama ketika berjihad di dalam dewan peperiksaan kelak, amin.

Mengambil inisiatif bagi memberi lebih motivasi kepada para pelajar, SRI Al-Rahman telah mengadakan satu majlis khas iaitu Majlis Solat Hajat & Bacaan Yasin bagi memohon keampunan dan rahmat Allah agar perjalan para pelajar tahun 6 mengharungi ombak dan badai UPSR dipermudahkan oleh Allah Taala.

Majlis bermula sejurus selepas solat maghrib. Azan maghrib telah dilaungkan sendiri oleh salah seorang pelajar tahun 6, Fadhly Amru Bin Ahmad Juruz. Seusai solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat hajat serta bacaan Yasin. Bacaan Yasin telah diketuai oleh Ustaz Abdul Hadi Abdul Hamid.

Majlis diteruskan lagi dengan taklimat ringkas berkaitan UPSR. Bagi waktu isyak, Nornarfarish pula memperdengarkan laungan azan, juga merupakan salah seorang calon UPSR bagi tahun 2015.

Kemuncak kepada majlis pada malam tersebut, slot bermaafan para pelajar dengan ibu bapa masing-masing.  Secebis kalam muhasah diungkapkan..semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah Taala. 

Impian kami guru-guru, kejayaan anda semua kami harapkan, akhlak yang mulia kami dambakan. Izinkan ayah dan ibu mengalirkan air mata kerana kejayaan kamu semua...