Didikan agama adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian selain pencapaian cemerlang dalam akademik. Pembangunan yang seimbang hanya mampu dicapai sekiranya masyarakat hari ini berjaya menguasai bidang agama dan pada masa yang sama mencipta kejayaan dalam bidang profesional.

Matlamat untuk mendidik anak bangsa yang prolifik menjadi asas kepada penubuhan Sekolah Menengah Agama Tinggi Ar-Rahman. Walaupun pada mulanya ia hanya beroperasi dengan Tadika Ar-Rahman dan Kafa Integrasi Ar-Rahman kepada pelajar darjah satu hingga enam, namun kepentingan pengajian tinggi agama tidak pernah diabaikan. Kata Ustaz Shafie Mohd Juri, pendidikan agama di peringkat tadika dan kafa integrasi masih belum mencukupi kerana ilmu agama dan akademik tidak bergerak seimbang.

Penubuhan sekolah menengah itu mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Malah, silibus pengajaran agama dan akademik juga berpandukan kepada sukatan pelajaran JAIS dan Kementerian Pendidikan Malaysia. “Sekiranya pendidikan agama yang mereka peroleh terhenti setakat darjah enam dan tidak ada sebarang usaha untuk menyambungnya kembali, maka ia akan terbiar begitu sahaja. Lebih-lebih lagi tumpuan kepada akademik lebih diutamakan,” kata beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang Usuluddin dan Tafsir dari Universiti al-Azhar, Mesir.

Ustaz Shafie yang pernah mengajar di Sekolah Rendah al-Amin, Taman Keramat, Kuala Lumpur sememangnya menyimpan cita-cita untuk membuka sebuah sekolah agama. Dengan modal awal berjumlah RM5,000 yang dipinjam daripada pemilik kedai emas, beliau membayar deposit untuk menyewa banglo dua tingkat di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras. Kemudian beliau mendapat pinjaman daripada AmBank dan Bank Rakyat. Ibunya juga banyak membantu dari segi modal dan sokongan moral. “Dengan duit daripada pinjaman bank dan wang yang diberikan ibu, saya berusaha untuk menyediakan kemudahan kepada para pelajar dan guru. Tetapi, kemudian kami berpindah ke rumah kedai ini memandangkan keadaannya lebih sesuai dan selesa,” ujar beliau.

Para pelajar sekolah itu juga diwajibkan mengikuti kelas hafazan al-Quran pada setiap hari selama sejam. Mereka dijangka mampu menghafaz sekurang-kurangnya dua juzuk dalam tempoh setahun. Bagi pelajar peringkat rendah pula, matlamat utama ialah supaya mereka boleh membaca Al-Quran dengan bertajwid. Sekolah KAFAi bermula (7.30 hingga 11.30 pagi). Sekolah rendah dan sekolah menengah (7.30 hingga 3 petang). Asrama kepada pelajar yang tinggal jauh dari sekolah juga disediakan. Mengenai perancangan masa depan, Ustaz Shafie merancang untuk mendirikan bangunan sekolah di tanah seluas enam ekar di Hulu Langat, Batu 21. Kos keseluruhannya dijangka RM20 juta.

Pada masa sekarang, selain bantuan daripada JAIS, kami juga menerima sumbangan daripada orang ramai dan mengenakan yuran persekolahan. Sumber kewangan sekolah juga diperoleh daripada syarikat Yasmin Travel and Tours yang menguruskan pakej umrah dan haji. Saya amat bersyukur kerana pihak jabatan agama sentiasa memberikan sokongan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan pembelajaran di sekolah,” katanya.